Isnin, 24 Ogos 2009

Apabila Panik Reda

Kadar jangkitan A-H1N1 masih lagi tidak reda walaupun kadar kematian yang dilaporkan nampak semacam makin berkurangan. Mengikut jangkaan WHO, sehingga lima juta dari penduduk Malaysia berkemungkinan akan dijangkiti A-H1N1 jika tiada langkah-langkah berkesan diambil oleh kerajaan dan juga orang ramai dalam menangani penularan virus ini.

Apa yang perlu disedari ialah virus A-H1N1 adalah virus yang dikira baru walaupun telah ada rekod kemunculannya di AS sebelum ini, tetapi penularannya dapat dibendung dan ianya tidak tersebar. Penyebaran virus pada kali ini terjadi dengan amat cepat. Dari kes besar di Mexico di mana seramai 60 orang telah mati pada April tahun ini sehingga kini, ianya telah menular ke merata dunia, cuma dalam masa empat bulan sahaja. Di mana terdapat pergerakan manusia keluar dan masuk ke sesuatu kawasan itu, pasti virus ini akan sampai juga akhirnya.

Buat masa ini kita disaran supaya menggunakan topeng muka untuk mencegah jangkitan virus ini terutamanya untuk para pengidap selsema A-H1N1. Dan sekiranya dijangkiti, ubat selsema yang berkesan hanyalah Tamiflu yang dicipta oleh syarikat farmaseutikal Gilead untuk menangani wabak selsema burung dahulu. Walaubagaimanapun terdapat semakin banyak kes jangkitan A-H1N1 dikesan tidak bertindakbalas dengan Tamiflu sejak akhir-akhir ini.

Dengan penularan yang amat cepat ini, ianya hanya menunggu masa sahaja apabila virus A-H1N1 akan berada di mana sahaja di negara kita yang terdapat penduduk. Jika saranan kementerian kesihatan diambil pakai oleh kita semua, nampaknya semua warga Malaysia bahkan semua penduduk dunia akan terpaksa memakai topeng muka sepanjang hari untuk mengelak terkena A-H1N1.

Apa yang akan terjadi selepas ini?

Vaksin yang giat dibangunkan oleh syarikat-syarikat farmaseutikal gergasi dunia masih lagi di peringkat ujian dan hanya akan boleh diambil seawal-awalnya pada bulan Oktober tahun ini. Walaubagaimanapun jika terdapat sebarang keraguan akan keberkesanannya, penggunaan vaksin ini mungkin juga dilewatkan ke tarikh lain.

Seperti dinyatakan terdahulu, virus A-H1N1 adalah virus baru, bermakna tubuh manusia tidak terdapat pertahanan untuk menanganinya. Berbeza dengan selsema biasa (flu) yang juga diakibatkan oleh lebh dari 200 jenis virus, yang telah lama menular dan badan kita telah mendapat semacam pengalaman untuk sesetengah virus selsema ini, A-H1N1 akan mengakibatkan badan kita terpaksa berdepan dengan ancaman baru. Apabila dijangkiti, ia memerlukan lebih kurang dua minggu untuk membina sistem pertahanan diri untuk berdepan dengan virus ini. Jika sekiranya tidak mempunyai sistem pertahanan tubuh secukupunya, ada kemungkinan pengidapnya mendapat gejala yang teruk dalam masa dua minggu ini. Gejala teruk ini juga boleh sehingga membawa maut seperti yang terjadi sekarang ini.

Walaubagaimana pun, lambat laun dengan merebaknya virus A-H1N1 ke serata pelusuk dunia, kita cuma mempunyai tiga pilihan untuk menghadapinya:

  1. Mengelak dari dijangkiti dengan memakai topeng muka dan sebagainya
  2. Mengambil vaksin untuk menguatkan sistem pertahanan badan
  3. Menghadapi virus ini dengan cara semulajadi dan badan kita akan membina pertahanan A-H1N1 dengan sendirinya
Kaedah no 3 adalah cara natural sejak dari zaman Adam lagi. Seperti dengan selsema biasa, dan juga demam cengkering (chicken pox) yang kesemuanya disebabkan oleh jangkitan virus, kita perlu mengambil makanan berkhasiat dan berehat secukupnya semasa terkena virus ini sementara memberi peluang kepada badan kita membina pertahanan (sistem imun) untuk melawan virus tersebut. Dan juga mengambil ubat seperti paracetamol untuk memberi kelegaan kepada kesan demam. Ubat selsema seperti Tamiflu (jika masih lagi berkesan) dapat mengawal perkembangan virus ini pada peringkat awal jangkitan.

Proses pembinaan pertahanan diri ini adalah satu proses semulajadi yang terjadi sepanjang masa.

Kita terkejut disebabkan oleh magnitud penularan dan jumlah kematian yang tinggi disebabkan oleh A-H1N1 ini. Kemungkinan angka kematian yang tinggi ini adalah disebabkan manusia zaman sekarang telah dimanjai dengan permakanan mewah dan tidak berkhasiat yang memberi kesan buruk kepada sistem imun, dan juga bahan-bahan pencemaran sekeliling telah memberi tekanan kepada badan kita sehingga sesetengah dari kita tidak berupaya untuk menghadapi sebarang serangan dari virus baru seperti A-H1N1 ini.

Kesimpulan: Jagalah kesihatan kita sendiri dengan mengambil makanan yang berkhasiat dan membuat senaman secukupnya.

Originally By: AbgJoe

0 Komen: